Sajak-sajak ini diizinkan ditempatkan dimana-mana  laman-laman yang bersesuaian

Andromeda

 

Sampai sekarang dongengan itu

Tertampal di langit malam

Dan pada mulanya tiada yang menyangka

Di belakang puteri ayu ini

Berputar seguah galaksi berpilin

Jasadnya berganda Bima Sakti.

 

Lahir di Ethiopia

Dibesarkan di sisi inang dan dayang

Belajar mengenal erti kasih saying

Sering bermain dengan kesenangan

Memintas pengalaman dan menangkap makna pengorbanan

Di halaman istana Raja Cepheus

Paduka adil lagi bijaksana.

 

Andromeda memang cantik

Pemilik wajah jelita berkulit hitam manis

Tapi akibat celupar bonda Ratu Cassiopeia

Memperlekehkan ayu segala bidadari laut

Kemarahan mengelegak di dada penguasa segara

Lalu sebagai penebus malu , dikirimkan segulung ancaman

Seluruh Ethiopia purba ditimpa bencana

Banjir besar melanda menenggelamkan keamanan warga

Diutus Cetus Raksasa menghulur kata dua

Seluruh rakyat jelata

Atau

Andromeda , puteri kesayangan seisi istana jadi taruhan.

 

Andromeda mengerti sungguh makna ugutan

Lalu mengertikan makna pengorbanan

Bersedia menyerahkan nyawa,

Merelakan jasadnya lumat

Berkubur di usus raksasa.

Andromeda akur pada syarat

Lantas tanpa helah menghulurkan tangan

Untuk dirantai padaa batu-batu di pinggir pantai

Mennggu tanpa keluh ketibaan maut di rahang

Cetus raksasa.

 

Takdir suratan tiada siapa dapat menafikannya

Perseus pahlawan perkasa

Lalu melangkah  gagah batu-batu pejal di tepi pantai

Menggalas bungkusan kain kuning diresapi merah darah

Yang tersisa dari leher Sang Gelembai Medusa

Bermata sakti berambutkan ular.

 

Janji warga segara pasti tak mungkir

Tidak hilat barang sedetik,

Tidak mendahului walau seminit

Tepat pada ketika nya laut bergelora busa berpusar

Satu deburan hebat teriring

Bagai sekuntum guruh mengembang di atmosfera senja

Muncul Cetus mempamerkan wajah amat garang lagi menakutkan

Andromeda menutup kedua belah matanya rapat-rapat

Dan mengucapkan selamat tinggal kegirangan hidup di bumi dunia

 

Tapi  usia tak patah kalau ajal tak terjah

Perseus tak mudah hilang punca

Dibukanya  kain pembalut mata Madusa

Mata yang terbelalak kerana kempunan

Dihalakan mata Madusa ke arah Cetus Raksasa

Serta merta Cetus bertukar menjadi batu

Berpulau di laut pinggir

 

Andromeda terselamat daripada maut

Tunduk kepada budi tak terbalas

Membayar hutang nyawa dengan jiwa dan raga

Akhirnya hidup aman sebagai permaisuri

Memburuj di antara pulau-pulau sarwajagat

Yang anggun mempesona

 

Jarak dua juta tiga ratus ribu tahun cahaya

Melintasi vakum yang maha luas

Mencelah ratusan juta meteoraid, asteroid, komet,

Setelit, planet, meteor, nabula, pulsar dan lohong hitam

Adalah jarak yang tak mungkin diterokai

Sebarang kapal angkasa, proba, atau koloni peneroka,

Tapi Andromeda masih kerabat Bima sakti

Khabar hamil tiga ratus billion bintang

Dan tak terbilang jasad-jasad yang tersebar

Di merata ruang Galaksi Andromeda.

 

 

Ediramle Ismail

Tumpat, Kelantan, Malaysia



Ediramle Ismail,
Kok Pasir, Tumpat, Kelantan

    

 Ediramle Ismail

 Ediramle Ismail, 

http://www.pesisir.net

http://www.kokpasir.com

ediramle@kokpasir.com


Free Web Hosting