Sajak-sajak ini diizinkan ditempatkan dimana-mana laman-laman yang bersesuaian
NAKALKU SERING TUMPAH
Nakalku sering tumpah
Dan marah nenek
Bersembur keluar bersama air sirih
Pulang dari bersekolah
Melontar masa depan ke sudut dinding
Dan aku turun bermain
Berguling di pasir berdebu
Menganggap sahabat karib sebagai musuh
Bertarung menonjolkan kehebatan diri
Kemudian pulang
Menyembunyikan sakit di dalam saku.
Lewat petang
Aku berdiri dan merenung
Air bertakung dan berkurung
Di dalam perigi lama
Menunggu senja
Perlahan tenggelam dari ufuk kampung kelahiran
Nasihat datuk berulang
Seperti hujan menimpa batu
Namun degilku melekat erat
Seperti daki tertampal di kaki
Berkuntum kudis dan panau
Padaa kulit tangan dan kaki
Setiap malam selepas pulang mengaji quran
Sakit menyerang seluruh badan
Nenek merawat mengasah ubat
Datuk bersila melepaskan batuk.
Ediramle Ismail,
Kok Pasir, Tumpat, Kelantan
Ediramle Ismail,