Sajak-sajak ini diizinkan ditempatkan dimana-mana laman yang bersesuaian
BURUNG TUKANG
Malaskah kau
membuat sarang sendiri
atau kau tidak mampu
perolehi ranting kayu
atau sekangkang tanah lapang?
Setahuku kau terus bertelur
di atas sampah sarap
di bawah rumput kering
Tapi kata orang
kau tersisih di siang hari
dan menukang di waktu malam
Kau menukang
hingga ke larut malam
mendirikan
kebahagiaan orang lain
Kaulah burung tukang yang
nasibmu
tertumpah di dalam acuan kemiskinan.
Ediramle Ismail 1986
Kok Pasir, Tumpat, Kelantan
ANGIN
Tera acu tanya saing sobat di luar
mu lelah ko mu penat
muka pucat kelat
urat ketar gegar
mulut kumit kumat
acu menari joget
tes terai ada ko angin
nak main mok yong atau puteri.
Kalu beraso nak panggil tok minduk,
tok bageh orang bergelar
orang tersohor
seluruh ceruk rantau negeri
Tapi pitis belanja
terantuk ke angka ribu
sapakah nak tanggung?
Mu ni angin tohor ko
angin dalam?
tolong royat mari
atau Perasaan membuak
di dalam dada
tekak terasa loya
mulut mual
kalulah gini jadinya
alamat kata sudahlah dekat.
Ediramle Ismail
******************************************************
Mimpi
Di dalam malam kelam
terbaring mimpi dekat tidurku
dan mengesel-geselkan
ke dadaku
dengan jurai-jemurai rambutnya yang
panjang
kau yang kusebut namamu
berkali-kali sebelum tidur
ataukah kau utusan pembawa untung
degus nafasmu bagai hembusan bayu lembut
yang mengirimkan suara rindu kekasih
selepas terjaga malam
sebelum menjelang subuh
tapi banyak yang tak kekal
sebelum malam terjunam di kaki gunung
dan kabus membungkus matahari pagi
kau tiba-tiba menghala ke barat
seperti selalu.
aku pun jadi menunggu.
Ediramle Ismail
Ediramle Ismail,