Sajak-sajak ini diizinkan ditempatkan dimana-mana  laman-laman yang bersesuaian

Masuk ke dalam kata

 

menangkap hal-hal separuh wajar

kukurung di dalam rasa

kemungkinan berbisik perlahan

kebebasan mula meresapi hidup

 

siang dan malam

anika kata wangi

dan selainnya

mencari arah

aku tahu

ketenangan sudah menunggu

 

Masuk ke dalam kata

bermalam dalam keanikaannya

memetik wangi

lalu disuap ke indera.

segar jagat jasad

 

menghulur ke luar jangkauan

sesekali menyentuh

dan memeranjatkan orang

tersenyum batinku.

 

Ediramle Ismail

 

 ******************************************************

Sejak Tertanggal Ingatan

 

Sejak tertanggal ingatan di kepalanya

mulalah dia lupa

pada bulan dan hari

pada petang dan pagi,

berubah juga dia

dari seorang pendiam

kepada seorang periang

menegur siapa saja yang lalu

tanpa segan silu.

 

Tapi dia tak pernah lupa

pada nasi dan lauk

dan masih dapat membezakan

antara ikan dengan kerang

antara siput dengan biskut.

 

Sejak ingatannya tertanggal

dia mula melemparkan kata-kata nista

kepada Timah dan Selamah

kepada Seman dan teman

 

Sejak ingatannya tertanggal

orang-orang kampung

mula menurunkan percaya dan hormat

kepada seorang Pak Mat.

 

Ediramle Ismail

Tumpat, Kelantan.



    

 Ediramle Ismail

 Ediramle Ismail, 

http://www.pesisir.net

http://www.kokpasir.com

ediramle@kokpasir.com